
Tanggal 12 Februari 2007 merupakan hari pertama kami berada di Bandung. Tidak kuduga, perjalanan kami hari ini bakal meninggalkan kesan yang amat besar bagi diriku. Menurut Pak Udi, pendamping setia kami selama berada di Jawa, hari ini kami akan dibawa ke Darul Tauhid. Hurm, tempat apa agaknya? Tak pernah dengar pun orang bercerita pasal Darul Tauhid sebelum ni. Tapi, macam biasalah. Hati ni memang ‘excited’ nak tengok tempat-tempat baru. Kali ini, kami naik sepatu aje sebab kata pendamping-pendamping kami Darul Tauhid terletak tidak jauh dari tempat tinggal kami di Bandung ini. Perjalanan pun dimulakan… Hurm, semua orang nampak gembira dan bersemangat nak berjalan hari ni. Mana tidaknya, sebelum ini di Jakarta, Jogja, dan Pekalongan.. cuaca bukan main panas lagi. Gerah bangat! Tapi, di Bandung ni cuacanya dingin sekali. Agaknya kalau kena jalan 10 km pun semua orang senyum aje. Hehe…
Hampir 35 minit naik sepatu, akhirnya kami tiba di Darul Tauhid. Kami terus berjalan hingga sampai ke sebuah masjid. Kata Mbak Nisa, program di Darul Tauhid akan dijalankan secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Sementara itu, kami perlu menunggu ketibaan seseorang untuk sesi taklimat dan penerangan. Kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya oleh kami untuk menghilangkan kecapekan. Aku tersenyum melihatkan ulah sahabat-sahabat kesayanganku. Ada yang bersandar, duduk, dan berbual-bual. Aik, yang termenung pun ada? Ni tak lain… mesti udah kangen sama keluarga. Maklumlah, udah tiga pekan kami berada di bumi Jawa ini. Aku melihat keadaan sekeliling. ‘Apa yang istimewa sangat Darul Tauhid ni? Sama aje macam tempat lain. Ada masjid, kedai, orang lalu-lalang…’ Hatiku berbicara. Tidak lama kemudian, datang seorang mbak sambil tersenyum mesra kepada kami. Mbak yang tidak dikenali ini mengajak kami masuk ke dalam masjid. Kami pun masuk aje lah. Tanpa disuruh, kami duduk membentuk sebuah bulatan. Mbak ini memperkenalkan dirinya sebagai Mbak. Menurutnya, beliau merupakan salah seorang ‘tourist guide’ di Darul Tauhid. Peh.. siap ada ‘tourist guide’ tu!

Seterusnya, Mbak memulakan penerangannya mengenai Darul Tauhid. Katanya, Darul Tauhid ini diasaskan oleh A’a Gym, yang kini merupakan salah seorang ustaz dan tokoh agama yang terkemuka di Indonesia. Pada awalnya, Darul Tauhid hanya mempunyai sebuah pesantren yang mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada anak-anak. Namun begitu, kini Darul Tauhid telah membangun dengan begitu pesat dan layak disebut sebagai sebuah perkampungan Islam. Darul Tauhid terdiri daripada tiga badan utama iaitu Yayasan Darul Tauhid, Koperasi Pesantren Darul Tauhid, dan Manajemen Qalbu. Yayasan Darul Tauhid terbahagi kepada empat jabatan iaitu Jabatan Dakwah dan Sosial, Jabatan Pariwisata (di Malaysia orang sebut pelancongan), Jabatan Pendidikan, dan Jabatan Pelatihan. Jabatan-jabatan ini diwujudkan bagi menjaga kemaslahatan dan memudahkan para penduduk di serta pelancong yang berkunjung ke Darul Tauhid. Koperasi Pesantren Darul Tauhid pula terbahagi kepada lima cabang iaitu penginapan, kotej, kafe, Super Mini Market (SMM), dan warung telefon (Wartel). Seterusnya, beralih pula kepada Manajemen Qalbu atau lebih mesra disebut MQ. Manajemen Qalbu mempunyai 27 anak syarikat yang menerajui pelbagai bidang dan setiap satunya berunsurkan Islam. Ada MQTV, MQFM, MQ Fesyen, MQ Publishing, MQ Digital, MQ Travel, MQ Kafe, dan macam-macam MQ lagi lah. Subhanallah, kami terpana seketika mendengarkan bicara Mbak. Begitu hebat rupanya umat Islam di Tanah Jawa ini.

Kemudian, Mbak membawa kami ke dua buah pondok comel berhampiran Jabatan Pariwisata untuk menikmati makan tengah hari. Usai makan tengah hari, Mbak mengetuai kami memulakan perjalanan. Kami dibawa melalui sebuah lorong yang sederhana besar. Di kiri dan kanan jalan terdapat rumah-rumah yang sederhana saja pembuatannya. Tetapi, ada juga rumah-rumah yang tersergam indah dan tampak mewah. Hampir lima minit berjalan, kami tiba di sebuah bangunan empat tingkat yang bertulis Baitul Muslimah. Kami tidak dibawa masuk ke bangunan ini, sebaliknya kami dibawa memasuki kawasan sebuah rumah yang terletak berhampiran dengan Baitul Muslimah. Halaman rumah ini agak luas dan landskapnya pula sangat menarik. Mbak memberitahu kami bahawa rumah ini kepunyaan A’a Gym, tetapi buat masa ini beliau tiada kerana mempunyai urusan di Jakarta. Perjalanan diteruskan lagi…

Seterusnya, Mbak membawa kami ke MQFM. Melangkah saja ke dalam bangunan ini, kesejukan menjalar ke seluruh tubuh dek air-cond yang dipasang. Kami dibawa ke sebuah ruang ala-ala pejabat yang menempatkan 10 buah meja kerja. Kelihatan beberapa orang pekerja sedang tekun menjalankan tugas di meja mereka. Di bahagian kanan ruangan ini terdapat dua buah meja yang hanya dipisahkan oleh kaca. Maksudnya, kami dapat melihat setiap aktiviti yang dijalankan dalam kedua-dua bilik tersebut dari luar. Menerusi kaca bilik pertama, kami dapat melihat seorang deejay sedang rancak berbicara. ‘Owh, tengah on air rupanya’. Bertambah-tambahlah kejakunan kami. Kami leka memerhatikan deejay tersebut. Maklumlah, mana pernah tengok deejay radio bertugas secara live sebelum ni. Dalam bilik kedua pula kami dapat melihat seorang lelaki yang sedang tekun menghadap komputer. Menurut salah seorang pekerja di situ, petugas di dalam bilik tersebut bertanggungjawab menyiarkan lagu ke udara dan menunaikan permintaan lagu daripada para pendengar radio MQFM. Seterusnya, kami dibawa ke MQ Publication yang terletak di dalam bangunan yang sama dengan MQFM. MQ Publication merupakan tempat di mana para penulis menyiapkan artikel dan berita sebelum diedit oleh ketua editor untuk dimuatkan dalam akhbar.
Kemudian, kami dibawa pula ke MQTV. Salah seorang pekerja di sini akan menemani kami sepanjang berada di MQTV dan memberikan penerangan ringkas terhadap kerja-kerja yang dijalankan di sini. Kami berasa sangat teruja dan sempat bercanda. ‘Stesen TV kat Malaysia belum sampai, dah masuk stesen TV kat Indonesia pulak’. Menurut pekerja tadi, buat masa ini MQTV hanya bersiaran selama lapan jam sehari memandangkan ia baru sahaja ditubuhkan hamper satu tahum yang lalu. Rancangan-rancangan yang dimuatkan dalam saluran MQTV seperti drama, kartun, dan ‘talk-show’, semuanya berunsurkan Islam. Malah, iklan yang disiarkan juga akan ditapis terlebih dahulu agar tidak ada unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam. Tambah Mbak pula, sekiranya terdapat wanita yang tidak bertudung dalam sesebuah iklan, iklan tersebut dikira sebagai tidak menepati piawai dan akan direject. Fuh, sampai macam tu sekali? Seterusnya, kami dibawa ke sebuah bilik. Kami difahamkan bahawa bilik ini merupakan tempat untuk mengawal audio dan kesan suara. Bersebelahan dengan bilik ini ialah bilik berita. Di dalam bilik ini, terdapat sebuah kerusi dan meja yang diperbuat daripada marmar. Di belakangnya pula terdapat sebuah skrin besar dengan gambar peta dunia. Di kerusi inilah para pembaca berita akan duduk untuk menyampaikan berita. Kami sempat merakam foto disini dan berlagak seolah-olah sedang membaca berita. Kemudian, kami dibawa pula ke studio rakaman. Di dalam studio ini terdapat empat buah set penggambaran untuk merakam rancangan-rancangan yang berbeza. Selesai di MQTV, Mbak membawa kami singgah ke toko buku dan kedai yang menjual cd dan kaset nasyid.
Tidak lama kemudian, kedengaran azan sayup-sayup berkumandang menandakan telah masuk waktu solat. Kami agak terkejut melihat kedai-kedai di kiri dan kanan jalan yang sedang kami lalui ini ditutup satu persatu. Peniaganya pula segera bergerak menuju ke masjid untuk melaksanakan hak mereka sebagai hamba kepada Maha Pencipta. Subhanallah, terdetik sekali lagi di hati ini bahawa sungguh hebat rupanya umat Islam di Jawa. Seingatku, panorama seperti ini amat jarang disaksikan di mana-mana, apatah lagi di tanah airku, Malaysia. Sungguh, aku begitu kagum dengan mereka yang lebih mementingkan akhirat daripada urusan dunia.

Sepanjang perjalanan pulang ke tempat tinggal kami, kami tidak henti-henti berbicara mengenai Darul Tauhid. Masing-masing meluahkan kekaguman yang tidak terhingga dalam hati mereka. Aku kembali terkenang akan kata-kata Pak Udi sewaktu kami berada di Jakarta. Kalau tak silap, lebih kurang macam ni lah. ‘Malaysia sudah mula membangun sebagai Negara maju, berteknologi tinggi, dan diiktiraf oleh Negara-negara berkuasa besar dunia manakala rakyat Indonesia pula begitu kuat berpegang dengan Islam dan tidak akan teragak-agak untuk berkorban demi Islam. Sekiranya satu hari nanti Malaysia dan Indonesia bergabung, tidak mustahil kita boleh menegakkan semula daulah Islamiyah di muka bumi ini’.
Ya Allah, aku amat merindui saudara-saudaraku di tanah Jawa sana meskipun kenangan bersama mereka hanya seketika cuma. Namun apakan daya, hanya sekalung doa dapat kutitipkan bagi mengiringi kehidupan mereka yang telah banyak berjasa dan berkorban demi membantu kami sepanjang berada di sana. Moga Allah sentiasa merahmati dan menaungi hidup kalian di sana. Amin.
‘A string that will always put us together is an ukhuwah, which stands on one aqidah’
No comments:
Post a Comment