Friday, December 2, 2011

Suhaylah: Pembelajaranku Di Tempat Belajar Mereka

Menjelajah sebahagian Pulau Jawa. Memang banyak kami ke tempat-tempat pendidikan atau tempat belajar yang setiap satu itu berbeza suasana dan keadaannya. Sekolah Alam dan Lingkungan Tunas Mulia ialah antara sekolah yang kami tuju. Kalau dinilai daripada namanya sahaja mungkin kita akan gambarkan suasana sekolah seperti sekolah yang biasa kita lihat. Tapi sebenarnya, apabila dilihat sekolah itu tanpa membaca papan tanda yang tertulis nama sekolahnya,kami tak tahu bahawa pondok buluh yang agak luas, dengan dinding setakat paras pinggang itu adalah sebuah sekolah. Ini adalah sebuah sekolah di kawasan tapak pembuangan akhir sampah. Menggabungkan sekolah dasar(SD) dan sekolah menengah pertama(SMP). Cuba fikir kenapa di kawasan lori-lori sampah hantar sampah untuk dilonggok pon ada sekolah. Pastinya sebab ada penduduk di kawasan itu. Ada perkampungan di kawasan longgokan berbukit-bukit sampah itu. Rumah pon dibina atas sampah. Guru-guru yang mengajar datang secara sukarela.


Kami tiba di tempat itu ketika hampir maghrib.Pengetua sekolah itu, Pak Adam yang sudi memberi penerangan kepada kami menceritakan, 3 bulan beliau di situ, beliau dijangkiti tuberklorosis dan berubat selama 6 bulan. Kemungkinan besar sebab faktor kebersihan dengan bau sampah yang tidak dapat digambarkan dahsyatnya bau-bau sampah yang berlonggok-longgok itu. Tapi, mungkin anak-anak di situ sudah imun dengan suasana itu. Walaupun mereka dikelilingi sampah,kadangkala makan makanan yang dikutip dari tempat sampah, jarang sekali mereka jatuh sakit. Diceritakan, jika ketika anak-anak itu menyelongkar sampah-sampah dan mereka menjumpai makanan yang kelihatan baik, seperti buah-buahan dan sebagainya, makanan itu pasti dimakannya. Sekolah itu bermula pada waktu petang sebab anak-anak di situ membantu ibubapa mereka yang bekerja sebagai pembulung iaitu mencari barang recycle. Mencari barang untuk recycle mungkin kedengaran normal. Tapi mereka hidup dalam suasana dipenuhi sampah. Anggaran satu keluarga mendapat kira-kira 100kg sampah sehari. Kira-kira 300000kg sampah akan dihantar oleh lori-lori sampah setiap hari. Tahap kesedaran tentang pentingnya pendidikan juga masih kurang di kalangan penduduk. Ibubapa mungkin melarang anak-anak ke sekolah jika jadual waktu persekolahan menghalang mereka daripada membantu keluarga.

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah guru-guru tetap gigih mengajar walaupun bilangan pelajar tidak menggalakkan. Malah, kelas-kelas digabungkan. Contohnya tahun 1 dan tahun 2 dijadikan 1 kelas kerana bilangan murid yand sedikit dan guru yang tidak mencukupi. Salah seorang guru di situ adalah isteri Pak Adam sendiri. Mereka belajar tanpa meja dan kerusi.Jika terdapat buku pon, ia adalah lebihan dari sekolah tempat guru itu mengajar. Terbayang di fikiran bagaimana agaknya jika ditakdirkan inilah suasana tempat pembelajaran saya. Membuatkan saya insaf dan bersyukur dengan suasana belajar kita di sekolah yang jauh lebih selesa.

Maka, apa alasan kita untuk tidak belajar bersungguh-sungguh?


No comments:

Post a Comment