Kesejukan malam benar-benar mengunci seluruh jasad. Terasa seperti berada di dalam kolam air batu. Betul-betul sejuk hingga ke sumsum tulang. Sudahlah badan kelesuan dek aktiviti siang tadi. Kalau boleh diperatuskan tenaga badan ni, ana letak 12% je tenaga ana malam tu.
Hari ini bersamaan dengan 16 Februari 2007, jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Kami baru sahaja sampai ke Masjid Bogor. Pagi tu memang menyejukkan. Sesampainya kami disana, beg-beg kami terus diturunkan. Sebahagian daripada kami (ikhwah) masuk kedalam masjid kemudian membentuk rantaian manusia untuk menerima beg dari luar. Banyak betul beg yang kami terpaksa bawa sepulangnya dari Bandung. Penat. Pagi-pagi lagi sudah memenatkan. Sesudahnya mengangkat beg, ketika sedang menunggu masuknya waktu subuh, kami melakukan Qiam bagi mengisi rohani kami yang sedang kehausan. Beberapa minit kemudian azan berkumandang menandakan masuknya waktu subuh. Jam menunjukkan pukul 4.15 pagi. Pagi tu memang memenatkan. Bagi ana sendiri, ketika sedang solat subuh, sukar bagi ana mencapai kekhusyukan solat. Akibat kekurangan tenaga menyebabkan fokus pada diri, hilang, namun solat tetap diteruskan bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang muslim. Sesudahnya solat, seperti biasa, kami beramai-ramai membaca Al-mathurat sebagai makanan tambahan buat roh kami. Setelah selesai membaca mathurat, Pak Udi memberikan sedikit taklimat mengenai program outbound yang akan kami adakan hari ini. Oleh kerana terlalu mengantuk pagi tu, ana terpaksa melelapkan mata untuk kembalikan kudrat jasad.
Suasana pagi itu begitu cerah. Memang sesuai untuk program outbound kami. Jam menunjukkan 7.30 pagi. Kami memulakan ekspidisi kami 15 minit kemudian setelah segala persiapan diri selesai. Tujuan kami adalah bukit Bogor yang terletak kira-kira 10 km dari masjid Bogor, dan kami dikehendaki berjalan ke bukit tersebut. Dari segi metalitinya, kami memang terasa 10 km itu sesuatu yang membebankan, namun dek kehangatan dan keseronokan aktiviti outbound yang pernah diceritakan oleh Pak Udi sebelum ini, membuatkan semangat kami terus berkobar-kobar liar. 200 meter yang pertama kami terpaksa meredah kawasan Bandar. Memang membingitkan. Pagi-pagi lagi sudah agak sibuk keadaan disitu. Namun, setelah melalui persimpangan untuk ke bukit Bogor, suasana kembali tenang kerana kami terpaksa melalui kawasan kampung. 100 meter pertama, jalannya agak landai, dan agak mudah bagi kami untuk melaluinya. Namun keadaan berubah setelah itu. Jalannya mula berombak-ombak. Sekejap keatas, sekejap kebawah. Memang memenatkan. Baru setengah jam kami berjalan tapi hampir 30% tenaga kami hilang. Bagi sesetengah individu dari kami, perjalanan begini memang menyeronokan dan mencabar. Dan bagi mereka yang fizikalnya memang sudah tersedia, kelajuan mereka berjalan agak tinggi sedikit. Kalau kami yang “biasa” cuma mampu sampai 10 km/j, mereka pula 20 km/j. Jarak mereka dengan kami memang jauh. Bagi diri ana yang memang sudah keletihan, terasa seperti mahu berhenti sahaja, namun setelah bantuan sampai iaitu sebuah “pick-up” truck datang, terasa harapan mula muncul kembali. Khayalan ana tentang outbound tadi mula muncul kembali. Namun khayalan itu terpaksa ana tahan daripada menjadi kenyataan kerana kami terpaksa beri laluan kepada para akhawat. Mereka lebih memerlukan. Sebagai seorang lelaki, memang patut akhawat pergi dulu kerana mereka adalah para wanita yang sepatutnya kami lindungi dan kasihani. Ada kalanya pengorbanan itu diperlukan. Baik, kembali kepada cerita ana. Ketika melihat akhawat menaiki pick-up truck, ana terlihat kelegaan yang tak terhingga pada wajah mereka ibarat orang yang terdampar di gurun selama 3 hari lalu mereka diberi air untuk menghilangkan kehausan. Tergelak kecil hati ini melihat wajah-wajah yang begitu letih. Setelah pick-up truck itu hilang dari pandangan, kami (ikhwah) meneruskan perjalanan kami menuju ke kaki bukit.
Sewaktu dalam perjalanan ke kaki Bukit, ketika melihat pemandangan yang begitu indah saujana memandang, secara tak langsung, keletihan dan kelesuan yang tertanam dan mula berakar umbi dalam jiwa ini, beransur-ansur hilang. Mungkin kerana terlalu takjub dengan ciptaan dan kekuasaan Allah yang terlalu indah dan memikat hati. Sedar tak sedar, 20 minit berlalu dan pick up truck pun tiba untuk menjemput kami pula. Namun, tak semua ikhwah muat untuk naik ke pick up truck ni, maklum la, pick up truck yang kami naiki ini cuma pick up truck mini sahaja. Jadi untuk gelombang yang pertama, dengan segeranya akibat mula terasa keletihan semula, dan dengan segala kudratnya, ana melompat kedalam pick up truck tu semata-mata untuk sampai awal sedikit dari yang lain. Dan, entah kenapa, ana merasakan mereka yang tertinggal seperti memahami keadaan kami yang pergi dulu dan ana betul-betul berterima kasih dengan mereka atas pengorbanan yang mereka lakukan. Dalam minda ana, terbayang kami sudah sampai ke destinasi dengan tempatnya yang indah dan selesa, namun, khayalan ini hancur apabila “super” kami hanya memberhentikan kami ditengah-tengah jalan (kira-kira 10 minit perjalanan). Katanya, kami dikehendaki melalui lorong kecil yang menuju ke bukit Bogor. Menurut Pak Cik Omar, laluan utama terpaksa ditutup akibat tanah runtuh yang berlaku beberapa hari yag lepas dan kami terpaksa melalui “jalan singkat” untuk sampai ke base camp kami. Nampaknya “jalan singkat” ini memang “singkat”. Laluan yang kami terpaksa lalui bukanlah laluan jalan raya seperti sebelumnya tapi bukit dan semak samun. Apakan daya, dengan keletihan yang menyelubungi diri, dan jiwa bersemangat yang sedang melawan kepenatan ini, ana lalui juga jalan bukit ini dengan keadaan “fifty-fifty”. Ketika dalam perjalanan, gelombang pertama kami berjalan dalam keadaan senyap kerana kami sudah keletihan dan kami juga sedang memfokuskan diri dalam perjalanan kami (lagipun kami dalam hutan, memang kena senyap).
Sedar tak sedar, kami bertembung dengan akhwat. Rupa-rupanya mereka memang sudah terlalu keletihan dan kelajuan perjalanan mereka kini sudah begitu perlahan. Kami hanya mengekori dari belakang dengan perlahan kerana guide kami bersama dengan akhwat. Akhirnya, setelah berjalan selama 10 minit, kami tiba di sebuah restoran atas bukit bogor. Di situ kami berhenti sebentar untuk berehat. Ada dianatara kami membeli air minuman untuk melegakan tekak yang kekeringan. Sambil kami sedang berehat-rehat, tertanya juga diri ini, “jauh lagi ke base camp kami??”, dan persoalan ana pasti akan terjawab sebentar lagi kerana baru sahaja kami berehat selama 5 minit, kami diminta untuk meneruskan perjalanan. Tak sampai 20 saat kami berjalan mendaki bukit, kami sudah tiba dibase camp kami. Rupanya base camp kami cuma belakang restoran yang kami berhenti tadi. Apa lagi, dengan rasa hormatnya, gelombang pertama ikhwah terus meluru ke pondok-pondok kecil yang memang sudah tersedia situ. Memang terasa nikmat dapat baring di suatu tempat yang agak selesa walaupun cuma pondok sahaja. Kami tiba di base camp dalam pukul 11.30 pagi (hampir tengah hari). Hari ini juga hari jumaat, dan dalam pukul 12.05 tengah hari, waktu zohor akan masuk, tapi, oleh kerana kami ini musafir, jadi tak perlu solat jumaat. Lagi pun masjid terdekat jaraknya lebih kurang 10 km dan kena turun bukit yang jumlah masanya akan mencecah 1 jam setengah juga untuk ke masjid yang terdekat.
Setelah masuknya waktu solat fardhu zohor, kami bergerak menuju ke surau yang terletak diatas bukit base camp kami. Tak jauh suraunya, kalau mengikut kiraan masa, cuma mengambil masa selama 20 saat sahaja untuk sampai ke surau tersebut. Nama surau ini adalah Musolla Hassan Al-Banna. Disebalik nama dan pembinaan musolla ini terdapat satu kisah yang agak menarik telah diceritakan oleh Pak Udi sebelum ini. Kawasan bukit bogor ini, majoritinya terdiri daripada umat Islam, dan masyarakatnya merupakan masyarakat yang miskin. Dahulu ketika umat Islam disini mahu membina sebuah tempat beribadat, ia mendapat tentangan daripada orang-orang kristian yang datang untuk menghulurkan bantuan. Namun, semangat dan usaha umat Islam terdahulu menyebabkan orang-orang kristian ini mundur dan mengalah lalu mereka Berjaya membina sebuah musolla yang kecil dan selesa untuk jemaahnya solat. Dan bagi memberi kekuatan kepada musolla tersebut, umat Islam disitu menamakan musolla itu “Musolla Hassan Al-Banna”.
Setelah solat zohor jama’ taqdim qasar dengan asar, kami semua menuju ke tempat rehat kami di pondok kecil. Aktiviti outbound kami hanya akan bermula setelah team dari Jakarta sampai. Dan mengikut kiraan, team Jakarta akan tiba dibase camp ini pada pukul 3.00 petang. Sementara menunggu kedatangan team Jakarta, sebahagian daripada turun dan menuju ke air terjun manakala sebahagian yang lain pula sedang beradu di pondok kecil. Mungkin kerana terlalu keletihan untuk sampai ke sini menyebabkan mereka tidak berupaya untuk terun ke air terjun. Ana mengikuti kelompok yang terun ke air terjun, dan ketika ana sampai di destinasi, alangkah indahnya air terjun milik Allah ini. Memang cantik pemandangannya. Airnya pula sejuk sangat, sejuknya ibarat air yang diisi dengan ais, cuma tidak beku sahaja. Pada mulanya, kami tidak berani untuk terjun kedalam air kerana terlalu sejuk airnya. Kami hanya bermain-main dengan batu-bata besar yang berada disitu sahaja. Setelah tergoda dengan bisikan air terjun yang begitu lunak sekali, ana pun terjun kedalam kolam di bawah air terjun tersebut. Ketika awal-awal masuk kedalam kolam, terasa badan seperti ditusuk dengan seribu ais kerana kesejukannya, namun lama-kelamaan badan ana sudah biasa dengan kesejukkan air kolam ini. Maka dengan bangganya ana berenang-renang denga senang dihadapan kawan-kawan yang masih ragu-ragu untuk masuk kedalam kolam itu. Setelah tergoda dengan gaya dan kuak lentang ana, maka mulalah seorang demi seorang daripada kawan-kawan ana yang memerhati sahaja sejak dari tadi terjun kedalam kolam tersebut. Tapi dek keseronokan berenang dalam kolam, ana terlupa nak beritahu mereka tentang kedalaman kolam ini. Memang terdapat bahagian yang dalam pada sebahagian kolam ini, dan mengikut perkiraan ana, dalamnya mencecah 7 meter dan ana khuatir rata-rata dalam kalangan kawan-kawan ana tidak pandai berenang. Alhamdulillah, sebelum sempat semuanya terjun, ana memberitahu mereka kawasan yang dalam dan cetek. Selepas makluman diberi, hanya sebahagian sahaja yang masuk kedalam air untuk menikmati kesejukkan air terjun di bukit bogor ini. Memang seronok sekali saat itu. Mereka yang tidak masuk ke dalam kolam itu, seperti Anas dan Ammar Salleh, bergerak ke bawah aliran sungai ini untuk memeriksa penjana elektrik tempat ini. Nampak “simple” je penjana elektrik tu. Tak sangka ana penduduk disini mampu menjana elektrik sendiri demi kepentingan mereka. Memang hebat. Tak lama kemudian, akibat kesejukaan yang tak terhingga, kami semua naik atas untuk memanaskan badan. Untuk memanaskan badan dengan cepat, kami semua bergerak ke sebuah gerai kecil penduduk bukit Bogor ini untuk menikmati “Indo Mee panas” dan “teh jeruk panas”. Memang “kaw”..er..sedap. Dalam kesejukkan yang tak terhingga sampai ke sumsum tulang, kemudian dikurniakan sebuah pemanas badan berbentuk makanan dari Allah, memang satu nikmat yang patut kami syukuri. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment